Muhammad Hariz Haikal dan Nur Annira – penyakit jantung

100%

Muhammad Hariz Haikal Mohd Fikri Hafiz, bayi lelaki berusia satu tahun tiga bulan dan Nur Annira Tasnim Anuar, bayi perempuan berusia sembilan bulan masing-masing memerlukan kos pembedahan RM80,000 seorang bagi mengubati masalah jantung yang dihadapi mereka.

Keadaan kewangan yang menghimpit keluarga dua bayi ini memaksa ibu bapa mereka meminta bantuan ihsan daripada orang awam yang prihatin untuk menyumbang.

Pemeriksaan doktor mendapati Muhammad Hariz mengalami ‘Sindrom Noonan’ dan kecacatan pada jantung manakala Nur Annira pula menghadapi masalah jantung berlubang.

Kedua-dua bayi ini kini hanya bernafas menggunakan bantuan alat mesin pernafasan.

Bapa Muhammad Hariz iaitu Mohd Fikri terpaksa berhenti kerja dari kedai makan untuk menguruskan urusan ke hospital manakala ibunya bekerja sebagai promoter kedai memancing memperoleh pendapatan bulanan RM1,600.

Keluarga Nur Annira pula, bapanya hanya seorang nelayan dan memperoleh pendapatan kasar sekitar RM1,400 termasuk dengan Bantuan Sara Hidup Nelayan manakala ibunya seorang suri rumah.

Mereka datang ke One Hope Charity untuk membantu mengumpul dana pembedahan berkenaan.Jumlah keseluruhan kos pembedahan untuk dua bayi ini adalah RM160,000.