Nur Izz Zoffia Hyra ,Fenix Yong Hua Yi -pemindahan hati

100%

Sifat tolong menolong dan kerjasama dari rakyat Malaysia yang prihatin terhadap nasib dua bayi yang perlu menjalani pembedahan pemindahan hati amat luar biasa apabila kutipan sebanyak RM280,000 sudah mencukupi.

One Hope Charity & Welfare (One Hope) melancarkan tabung kutipan untuk Nur Izz Zoffia Hyra Muhammad Hakim, bayi perempuan berusia 6 bulan dan Fenix Yong Hua Yi, bayi lelaki berusia 11 bulan pada Sabtu lalu.

Dua bayi ini masing-masing memerlukan kos pembedahan RM140,000 seorang.

Sebelum itu, ibu kepada dua bayi ini menyatakan kesediaan untuk mendermakan hati kepada anak mereka.

Ibu bapa kepada Nur Izz Zoffia iaitu Muhamad Hakim Hood,31 dan Nurul Husna Mohammed,34 tidak mampu menangung kos pembedahan tersebut kerana terlalu tinggi.

Situasi sama juga dihadapi ibu bapa kepada Fenix Yong iaitu Yong Shin Kiong,39 dan Siew Ting Anak Wichie Schan,36 yang tidak mempunyai wang sebanyak itu untuk menampung kos pembedahan pemindahan hati anak mereka.

Untuk makluman semua, Nur Izz Zoffia akan menjalani pembedahan pemindahan hati di sebuah hospital dekat Shanghai, China pada 5 Februari 2020.

Manakala Fenix Yong pula dijadualkan menjalani pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 18 atau 19 Februari 2020.

One Hope mengucapkan ribuan terima kasih di atas sokongan yang diberikan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama untuk membantu dua bayi ini untuk terus hidup dan berharap usaha ini akan diteruskan untuk membantu insan yang lain.

Sumbangan yang diberikan sudah tentu melegakan kebimbangan ibu bapa kepada dua bayi tersebut yang selama ini tidak tahu mencari dana untuk menampung kos pembedahan anak mereka.

Kami di One Hope mendoakan supaya dua bayi ini selamat menjalani pembedahan seterusnya membesar dan sihat seperti kanak-kanak yang lain.